KUCHING: Sarawak menyasarkan menjadi pusat kuasa tenaga hijau serantau dengan memanfaatkan potensi kuasa hidro daripada rangkaian sungai yang luas di negeri ini.
Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Sarawak telah melakukan kemajuan yang ketara dalam memanfaatkan potensi kuasa hidro.
”Projek utama kuasa hidro iaitu Empangan Batang Ai, Bakun dan Murum telah menyumbang lebih daripada 60 peratus kepada campuran tenaga ini.
”Kami juga sedang meneroka cara inovatif untuk memanfaatkan tenaga menggunakan empangan lata, suria, angin, biojisim, bahan api mampan dan hidrogen.
”Ini akan mewujudkan persekitaran yang dinamik untuk pelabur melabur dalam penyelesaian tenaga mampan dan boleh diperbaharui,” katanya ketika berucap semasa program 'Siri Invest Sarawak – Membongkar Potensi Perniagaannya' di ibu pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Kuala Lumpur, hari ini.
Majlis itu dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan tetamu kenamaan lain.
Dalam pada itu, katanya Sarawak juga bersedia menerajui ekonomi hidrogen yang sedang pesat membangun yang mana kuasa hidro negeri itu menyediakan sumber tenaga yang mampan dan mampu milik sekali gus membolehkan Sarawak menjadi hab hidrogen.
Ekonomi baharu ini, katanya, menawarkan peluang pelaburan, daripada membangunkan elektrolisis termaju dan sel bahan api kepada mencipta penyelesaian penyimpanan mampan dan rangkaian pengangkutan.